Monday, June 23, 2008

ANWAR MASIH RELEVAN?

Persoalan yang sering tertanya-tanya di fikiran saya adalah ‘Masih Relevan kah Anwar pada masyarakat Melayu’ pasca Pilihanraya 2008.

Soalan ini berkunjung ke fikiran saya daripada pengamatan saya pada perkembangan politik dikalangan orang Melayu di Malaysia.

Saya tadi telah menonton video saudara Anwar di Malaysiakini, dimana beliau telah menjemput ahli-ahli parlimen BN untuk bersama-sama ’menyelamatkan’ negara. Dengan nada yang amat yakin, beliau menyeru agar kerajaan BN ditumbangkan.

Tepuk galak penonton, bila mana Anwar berkata yang 2 wakil rakyat BN sudah ke kem PR menaikkan nafsu penonton dan pengikut beliau. Ternyata aura magik beliau masih kuat.

Anwar memuncak popularitinya sebelum Pelihanraya ke 12, masa dalam keadaan orang ramai, orang-orang Melayu berada didalam ketidak puasan hati yang amat memuncak disebabkan oleh kelemahan pentadbiran dan keadaan eknomi yang mendesak.

Anwar dijunjung rakyat bukan hanya kerana kebolehan orator dan karismanya, tetapi juga pada kisah silamnya yang menghantui ramai orang-orang Melayu kerana di fitnah dan di kejami pada masa selepas pemecatan beliau dari jawatan dalam kerajaan.

Maka di hati orang-orang Melayu, Anwar adalah ibarat Nelson Mandela, seorang pejuang yang amat disanjung. Maka Anwar diarak oleh orang Melayu sebagai seorang pejuang Islam madani yang memberi cahaya kepada massa. Ilmu agama, kebolehan beliau menjadi Imam dan khatib telah memaut hati ramai orang-orang Melayu dan Islam.

Kebencian pada PM Mahathir ketika itu amat memuncak, malah lebih dari kebencian pada PM sekarang, Berbagai-bagai gelar seperti Mahafiraun, Dedikasi dan bermacam-macam kata makian disembur oleh pendoking-pendokong Reformasi.

Pada tahun 2004, pilihanraya sekian selepas Anwar dibebaskan, sorakan Reformasi semakin sunyi malah UMNO menang besar, walaupun pada masa itu Anwar sudah berada di luar. Pada masa itu ramai orang Melayu berasa amat lega kerana PM Mahathir sudah tiada, dan mereka mengharapkan suatu perubahan akan dibawa oleh PM yang baru. Aura Anwar hilang sementara pada masa itu.

Maka pada masa itu PKR seperti sudah tidak relevan lagi, dan kisah Anwar Ibrahim seolah-olah hanyalah satu sejarah.

Pada tahun 2008, dan tahun-tahun sesudah 2004, menyaksikan era pemerintahan Pak Lah sebagai PM. Naiknya Khary Jamaludin, anak menantu PM, sebagai Naib Ketua Pemuda, dan cerita-cerita bagaimana kumpulan tingkat 4 menguasai pentadbiran negara mula di gong kan. Pertelagahan Pak Lah dan Tun Mahathir hanya lebih mengharu-biru kan keadaan politik UMNO.

Naiknya kerjaya politik KJ lebih banyak membawa musibah. Jeritan-jeritan kronisma kembali kedengaran, ketumpulan pemerintahan Pak Lah sebagai PM dan dasar keterbukaan yang dipelopori membawa satu musibah kepada Parti UMNO.

UMNO mula dilihat sebagai Parti yang elegataris, yang mem-bangsawan golongan-golongan yang berpangkat, seterusnya menjarakkan pembesar-pembesar UMNO dari akar umbi. Pandangan akar umbi tidak didengari dan permainan politik untuk terus kekal di atas menyebabkan kehancuran UMNO.

Orang-orang Melayu kehilangan punca, keadaan ekonomi yang mendesak, kenaikan harga minyak dan persepsi kekuasaan KJ membuatkan orang-orang Malayu marah. Maka UMNO harus di sedarkan. UMNO harus di ajar. UMNO harus dihukum.

Sedang orang-orang Melayu yang memang terkenal dengan amuknya tercari-cari cara yang terbaik untuk mengajar UMNO, muncul semual Anwar Ibrahim, pahlawan terbilang yang baru kembali dari pertapaan di Oxford dan John Hopkins.

Siapa lagi kah yang lebih sesuai untuk mengajar UMNO yang telah durjana kepada orang-orang UMNO? Jika tidak Pendekar Anwar, yang tari pencaknya setara hebat dengan pahlawan-pahlawan UMNO yang durjana tadi.

Jika pada zaman Reformasi, orang-orang Melayu marah, tetapi tepuk mereka hanya sebelah, isu-isu seperti HINDRAF, Murtad dalam kes Lina Joy menyaksikan tepuk orang Melayu bersambut oleh kaum-kaum lain.

Parti-parti politik seperti DAP, PAS dan PKR sedar tentang hal ini, maka inilah masa yang terbaik untuk mereka untuk menidakkan kekuasaan mutlak BN tadi. Dipimpin oleh Anwar yang telah cukup arif tipu helah UMNO/ BN, aura Anwar kembali memikat orang-orang Melayu.

Pilihanraya ke 12 menyaksikan gagalnya BN untuk mengekalkan kuasa mutlak mereka. UMNO dan parti-parti lain tertiarap, walaupun masih belum parah, tetapi masih berdarah di hidung terkena pukulan tinju rakyat.

Kini selepas 100 hari, adakah orang-orang Melayu masih marah dengan UMNO? Ditambah pula dengan keadaan dimana di negeri yang majoriti dan tradisi kekuasaan politik adalah ditangan Melayu telah berubah tangan ke DAP yang berselindung di belakang tabir Pakatan Rakyat. Apakah Melayu masih marah sekarang?

Bila isu DEB dan ketuanan Melayu dipersoalkan, adakah perkara ini di biarkan dan perjanjian kontrak dilanggar kerana mahu memuas hati kaum lain. Orang Melayu tertanya-tanya apakah lagi yang akan dikorbankan oleh ahli-ahli politik untuk terus kekal berkuasa atau mahu berkuasa.

Ganjaran-ganjaran terus diberikan sebagai gula-gula kepada Sabah dan Sarawak. Berbilion Wang akan disalurkan ke 2 negeri itu atas dasar masih ketinggalan. Orang Melayu Semenanjung melihat semua ini, dan kadang-kadang hati tertanya-tanya adakah juga tidak ada yang ketinggalan di Semenanjung.

Dalam itu UMNO giat menjalankan propoganda politik dengan mengatakan hak-hak orang Melayu akan dihakis, dan propoganda ini berjaya masuk kedalam hati dan minda ramai orang Melayu, yang bak kata mantan PM, masih mau bertongkat walau punya badan yang sihat dan kaki yang mampu berlari.

Tetapi yang paling nyata adalah Melayu masih tinggal di belakang, bukan kerana mahu bertongkat tetapi kerana pembesar-pembesar feudal baru sudah lupa tanggungjawab mereka. Ketirisan projek-projek yang di ali baba kan, kerana mahu cepat kaya dengan jalan mudah.

Utusan-utusan warkah dan komen-komen orang bukan Melayu di lama-laman seperti Malaysiakini dan Malaysia Today dapat membuktikan betapa benci nya mereka terhadap pemimpin-pemimpin UMNO. Ada kalanya ada juga celaan-celaan kepada orang-orang UMNO. Yang agak mendukacita adalah bila celaan dan tohmahan itu disambut benar oleh golongan-golongan Melayu Urban dan Liberal. Seolah-olah busuk sangat sekiranya menjadi Melayu.

Mungkin ramai dari kaum lain tidak sedar yang mereka juga melalui kapitalis-kapitalis meragut peratus besar dalam program-program DEB kerana ketirisan projek-projek UMNO tadi. Sedang kaum lain terusan menyalahkan orang Melayu kerana mengambil atau menyekat hak mereka.

Di ketika Anwar Ibrahim berkira-kira untuk memancing untuk berkuasa dan seterusnya menjadi PM, ramai orang Melayu masih tertanya-tanya tentang dasar dan prinsip kepimpinan Pakatan Rakyat yang beliau pimpin.

Apakah dasar Ketuanan Rakyat, melanggar dasar Ketuanan Melayu, atau apakah Melayu Malaysia akan jadi seperti Malayu Singapura yang terang-terang tersingkir dari arus politik dan ekonomi? Dan semua ini berlaku atas dasar meritokrasi?

Inilah persoalan-persoalan yang terngiang di minda orang-orang Melayu, dan Anwar Ibrahim pahlawan Melayu yang dulunya tegas mahu meniup nilai-nilai Islam dalam pemerintahan masih belum menjelaskan nya kepada orang-orang Melayu.

Apakah kerana mahu berkuasa PM, maka Anwar akan mengadaikan cita-cita menanamkan nilai-nilai Islam itu terus dilupakan? Orang Melayu masih menunggu penjelasan Anwar.

Jika perkara-perakara ini tidak dapat dijelaskan kepada orang-orang Melayu, maka saya tidak pasti apakah Anwar akan terus relevan kepada orang-orang Melayu.

Orang Melayu memang terkenal dengan sikap memaafi, tidak mustahil yang satu hari nanti UMNO akan di maafkan, kerana pada mereka tidak ada parti lain yang dapat menyelamatkan maruah Melayu dan hak mereka.

Jika Anwar tidak bertindak sekarang dengan satu pelan komunikasi yang tersusun, untuk merungkai persoalan-persoalan yang disebutkan tadi, mungkin orang-orang Melayu akan menghukum Anwar pula.

Anwar sedar yang kebangkitan PKR, DAP dan PAS bukan sebab mereka kuat, tetapi kerana UMNO dan BN yang lemah. Beliau tahu yang beliau tidak boleh membiarkan UMNO kuat semula.

Bagi orang Melayu, Anwar telah dilihat sebagai terlalu berlembut dan bertoleransi dengan permintaan demi permintaan dari kaum lain. Pendapat dan simpati beliau tentang HINDRAF dan janji beliau untuk menaikan sekolah jenis kebangsaan yang pada masa dulu cukup beliau anti. Semua ini di perhatikan dengan teliti oleh orang-orang Melayu.

Apakah Anwar juga akan berjaya melunaskan permintaan orang-orang Melayu pula jika beliau di desak satu hari nanti? Kini orang Melayu telah berjaya mengajar UMNO dan pembesar mereka. Apakah mereka mahu UMNO berkubur juga? Atau apakah amarah itu sudah terhenti?

Hari dan ketika ini semua orang dari kaum lain sedang berdoa agar UMNO dikuburkan tanpa Talkin. Bagi mereka UMNO adalah perampas hak-hak yang seharusnya mereka gapai. Apakah bangsa Melayu juga berfikiran begitu?

Masa akan menentukan.

1 comment:

infogue said...

artikel anda menarik,artikel anda:

http://berita-politik-dunia.infogue.com/
http://berita-politik-dunia.infogue.com/anwar_masih_relevan

promosikan artikel anda di www.infogue.com dan jadikan artikel anda yang terpopuler dan terbaik menurut pembaca di seluruh nusantara.salam blogger!!